Monday, November 23, 2009

Sejarah Sekolah

Sekolah Melayu pertama di kawasan ini ialah Sekolah Umum Sungai Derhaka yang didirikan pada tahun 1870. Sekolah ini terletak di Pekan Kampung Pertama.

Disebabkan pertambahan murid dan kawasannya terhad, sebuah sekolah baru didirikan dalam tahun 1930. Jaraknya dari Sekolah Umum Sungai Derhaka ialah kira-kira 1 kilometer. Sekolah ini dinamakan Sekolah Umum Permatang To’Kandu.

Bangunan asal Sekolah Umum Permatang To’Kandu ialah konkrit setingkat. Lapan tahun kemudian bangunan ini ditambah setingkat lagi dengan binaan kayu.

Pada tahun 1940, sebuah bangunan tanbahan setingkat dibina bersebelahannya. Tahun 1960, Sekolah Umum Permatang To’Kandu ditukar nama kepada Sekolah Kebangsaan Permatang To’Kandu (SKPTK). Bilangan murid sentiasa meningkat setiap tahun. Penghujung 1960-an dibina sebuah bangunan konkrit dua tingkat, mengandungi 10 buah bilik darjah.

Tahun 1971, SKPTK dicantumkan dengan Sek. Keb. Permatang Nibong bagi memudahkan pengurusan pentadbiran. Tambahan pula bilangan murid di Sek. Keb. Permatang Nibong semakin berkurang. Akhirnya pada tahun 1983 akibat pertambahan murid yang ramai kerana wujudnya kawasan perumahan baru, bangunan yang pertama dirobohkan dan digantikan dengan bangunan baru tiga tingkat bagi memuatkan pejabat, bilik Guru Besar, bilik rehat guru, bilik sumbar, perpustakaan, bilik tayangan dan kelas. Juga dibina sebuah kantin yang lebih selesa untuk kemudahan murid sekolah ini.

Pada masa ini jumlah murid seramai 1127 orang (31 kelas) yang datangnya dari kampong-kampung berhampiran iaitu,

Kampung Pertama

Kampung Belah Dua

Kampung Besar

Kampung Masjid Timah

Kampung Permatang Nibong

Kampung Permatang Janggus

Kampung Permatang Tengah

Taman Haji Mohamad Amin dan

Taman Janggus.

Bilangan guru seramai 55 orang dan kakitangan sekolah seramai 8 orang.

Asal Nama Sekolah

Sekolah Kebangsaan Permatang To’Kandu adalah diambil dari nama seorang imigran keturunan India Muslim berasal dari India Selatan yang bernama Maidin. Beliau mengembara sambil berniaga dan terus menetap di kawasan Kampung Pertama sehinggalah meninggal dunia. Kubur beliau boleh dilihat di kawasan perkuburan Kampung Pertama bersebelahan Masjid Batu.

Semasa tinggal di Kampung Pertama beliau dilantik sebagai penghulu atau ketua kanpung dengan gelaran To’Kandu. Dalam bahasa India Selatan, To’Kandu bermaksud penghulu atau Ketua Kampung.

Oleh itu sebagai memperingati jasa-jasa beliau, kawasan tempat tinggalnya dinamakan Permatang To’Kandu, dan nama sekolah ini juga dinamakan mengikut nama tersebut.

No comments:

Post a Comment